Saturday, May 10, 2014

Muhasabah p.3

6- Bangun dan Mula!
Ya, sematkan tekad dan azam yang selaut luas itu, ketat dalam hati dan berlarilah, menggapai awan yang lembut dan gebu di pertengahan jalan kau mencapai bulan.

Persetankan rasa malas yang merajai. Mulakan pemberontakkan dan gulingkan seorang raja yang menghancurkan kerajaan jiwamu itu. Dan penasihatnya yang bernama nafsu, tampar mati dan ikat kejap di penjara paling dalam, dan susun atur kegemilangan ketamadunan dirimu semula.

Ayuh, bangun dan bermula!

Muhasabah p.2

5- Don't trash your writing skill, nurture your knowledge with reading
Menulislah, kerana dengan menulis kau seorang guru, yang mengajarkan pembacamu ilmu. Ya, ilmu tentang hidup yang kau hayati dan lalui, atau hidup yang kau lihat dan hadami. Kau sampaikan cebisan perasaan untuk mereka tarikan syahdunya di hati, lalu membangkitkan pengajaran yang lekat indah di ingatan. Bukankah kau telah setanggan lagi, menggapai sebuah keagungan indah dalam hidup? Seorang guru yang mengajarkan melalui buku, sehingga hancur jasadnya, masih segar cerita-cerita epik dilirik orang. Indah.

Seorang guru itu berilmu. Dan yang berilmu, akan sentiasa sedar betapa selaut luasnya ruang pengetahuan, sekadar setitik yang diketahui, perlu ditambah menjadi dua titik, menjadi tiga, empat dan makin banyak. Agar sampai waktunya, menjadi sungai luas, dan penuhlah jasad dengan ilmu sehingga tak malu untuk dikongsi dan tak segan untuk menjawab. Nah, buang segala permainan mudamu, tinggal-tinggalkan gelak tawa seberapa banyak, gantikan dengan usahamu dalam menambah ilmu; membaca. Dan berguru.

Muhasabah p.1

1-Move on, don't just stuck for too long
Move on... Apabila kata putus dan sebuah kesimpulan tercapai, sematkan keyakinan dan segala impian di situ dan terus berjalan. Itulah hakikat kehidupan.

Tiada betul dan tiada salah. Semuanya berlaku punya sebab. Semuanya. Yang menjadikan ia salah atau benar, adalah diri kita.

Sebuah dosa berlaku atas sebab. Ia akan menjadi sebab yang indah tatkala membawa kita ke pintu taubat. Dosa berkali-kali juga bisa jadi ulung, apabila taubat nasuha bisa dihayati di akhir cerita. Dan segalanya boleh sahaja. menjadi titik gelap yang hitam, yang membawa kehancuran, tatkala tidak membawa kebaikan, dan terus-terusan kecundang. Dan ya, semuanya terletak di bahu sendiri, untuk bangun dan memanipulasi keadaan ke arah kebaikan, atau biar saja hanyut, atau semakin berenang ke lembah hina.

Ya, bangun. Kemas bilik. Kemas katil. Basuh baju. Lipat baju. Baca buku. Tulis nota. Practice. And Move on. 

2-The Biggest Sinner is still His servant
Biar segunung salah, bertaburan seperti pasir dosa-dosa itu. Masih juga seorang pendosa adalah hamba-Nya. Larilah, sehingga ke persada akhir cakerawala, menyalahkan diri dan membawa duka dengan berpaling dari-Nya. Kita hamba-Nya. 

Pelarian yang paling sia-sia adalah lari dari Allah. Kerana jauh di sudut hati, kita percaya dan yakin, suatu hari masanya akan tiba, kita berteleku di tikar sejadah mengharap payungan rahmat-Nya. Mengapa perlu menanti, sedang kau bisa menukar arah, dan mengejar bayang-Nya, hatta terbang tinggi ke arah sinar-Nya yang sentiasa terang menunggu kepulangannmu, seperti seorang ibu yang menunggu kepulangan seorang anak yang merajuk baru dirotan, menunggu untuk menampar lembut pipinya, lalu mencium hangat dahi kecil anak kecil itu, dimarahi lembut lali dipeluk erat. Bahkan, pelukan Allah, lebih indah dari seribu pelukan ibu, tatkala hati dinaungi penyesalan dan tekad pembaharuan. 

Justeru, kenapa masih berlari ke arah sana? Tukar haluanmu sekarang. Dan pulang untuk dakapan itu.

3- Persahabatan Terbaik adalah kumat-kumit namamu di tikar sejadahku
Berhenti mengejar indah persahabatan yang berkaca-matakan pandangan lahiriah. Indah nampak di mata tatkala masa-masa terluang bersama. Berkejar ke sana dan ke mari, dan penuhlah isi memori dan gelak tawa. Berhentilah, kerana perhubungan itu sebuah fatamorgana yang telah kau salah definasikan. Ya, kau salah, kerana itu kau terhentak dan jatuh kerana persahabatan yang serupa kini, terbiar sendiri dan kaku tidak mempercayainya lagi. Kerana kau salah mendefinasikan erti teman sejati.

Biar yang merajai ruangmu dengannya adalah diam penuh makna, yang berselang kata penuh perlu. Hilai tawa, suka ria, biar menjadi rempah, bukan nasi yang menjadi ruji. Kerana kau tersalah letakkan itu, persahabatanmu menjadi hambar, tatkala hangat suasana jenaka, berganti kesedihan hidup. Kerana persahabatan itu telah tersalah baja oleh rempah yang terlalu banyak, sehingga ia menjadi racun yang membunuh pohon persahabatan.

Nah, sebuah pengajaran persahabatan itu sudah di depan mata. Syukur ia hancur dan berkecai, kerana sekarang, kau bisa membajainya semula, dengan keimanan dan perkara-perkara yang sewajarnya. Dan nama-nama mereka, sebutkanlah di tikar sejadah dan doamu, bukan di meja bual yang menghidangkan hipokrasi dan daging busuk!

4- Cinta tak harus memiliki adalah UjianNya, Tempuhi dengan sabar
Ya, tidak kau seorang yang melaluinya, tidak cinta seumpama kau sahaja yang tak harus memiliki. Berapa ramaikah kekasih, yang perlu melepaskan pengarang jantung yang tidak membalas cintanya? Betapa seorang ayah yang terpaksa memendam rasa terhadap seorang anak yang tidak harus mengetahui akan kewujudannya, walau ingin dipeluk permata hati dan mengaku dia sang bapa. Cinta seorang ilmuwan terhadap sebuah buku yang tak tertafsir akalnya sendiri, walau bertahun mengkaji, tak sampai juga ilhamnya. Cinta seorang penyair akan sebuah bait yang tak mampu dinyanyikan, walau menggunung ingin dihayati, tapi tak sampai rasanya ke jiwa. Ah, begitu banyak bentuk cinta tak kesampaian, begitu banyak yang merasai cinta yang tak mungkin didakapnya. Bukan kau seorang dan ia tidak sia-sia. Ia cubaan kasih dari-Nya, punya makna dan punya tujuan. Selami penuh hikmah. Dan bertawakal kepada-Nya. Kerana jika cinta, maka cinta-Nyalah yang selayaknya dikejar. Jangan lagi bersedih dan berduka, dan tenggelam kerana cinta yang tidak kesampaian kerana hakikat cinta adalah pengorbanan, bukan untuk dimiliki. Kerana cinta adalah lahir dari sepotong hati. Ia masih bernama cinta walau hati yang dipujanya tidak tercetus rasa kasih yang serupa. Kerana cinta sentiasa suci dan cinta yang kau pendamkan dalam penuh sabar dan ikhlas, antara wajah cinta yang terindah bisa kau rasa. Ya, sebuah kesedihan, sebuah sayu yang merona cantik, namun ada percikan harapan di penghujungnya, kerana di syurga nanti, akan terbuktilah keagungan cinta itu, samada akan terjelupuk di kaki bidadari indah, atau harum mekar dijunjungannya. Terbuktilah nanti, apa benar ia cinta sejati atau nafsu yang cuba memerangkap.